KUALA LUMPUR 19 Mac – Pegawai dan anggota yang akan berpencen disaran supaya tidak berhenti menjadi ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ahli koperasi layak menikmati kemudahan dividen atas simpanan dan saham serta insurans kelompok.
Menurut beliau, ini termasuk kemasukan ke hospital dan pembedahan sehingga umur 70 tahun.
“Premium insurans di luar apabila berpencen adalah amat tinggi berbanding premium skim takaful berkelompok.
“Ahli juga digalakkan untuk menambah modal yuran serta saham,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPDRM, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Koperasi PDRM Datuk Seri Ayub Yaakob, Timbalan Presiden Respa, Datuk Mangsor Ismail dan Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapha Ali.
Menurut Mohamad Fuzi, penambahan modal yuran dan saham akan membantu koperasi mempunyai dana yang cukup untuk memberi pembiayaan kepada anggota dan juga anak-anak syarikat.
Katanya, modal saham boleh dilabur dengan nilai maksimum sehingga RM20,000 secara tunai.
“Lebih membanggakan, KPDRM berjaya menduduki tangga ketujuh dalam indeks antara 100 koperasi terbaik di negara ini pada 2018.
“Syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan koperasi kerana sentiasa memastikan matlamat koperasi mencapai sasarannya,” katanya.- UTUSAN ONLINE











