KUALA LUMPUR – Selepas buntu apabila Perlis digugurkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), akhirnya Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) tampil membela nasib bekas pemain pertahanan skuad Singa Utara, Azmizi Azmi.
Azmizi mengakui hampir menemui jalan buntu untuk mencari pasukan baharu dalam tempoh 30 hari namun keprihatinan PDRM FA mampu menyelamatkan kariernya daripada berakhir begitu sahaja.
“Alhamdulillah akhirnya saya dapat pasukan baharu dan terima kasih kepada jurulatih E. Elavarasan dan pengurusan PDRM FA yang meletakkan kepercayaan kepada saya untuk memantapkan lagi skuad The Cops.
“Selepas Perlis dibubarkan biarkanlah ia jadikan sebagai kenangan dan kini sudah tiba masanya saya membuka buku baru bersama PDRM FA.
“Ia adalah rezeki untuk saya kerana sebagai pemain pastinya saya menunggu tawaran daripada pasukan lain seterusnya cadangan Elavarasan untuk membawa saya ke sini (PDRM FA) mendapat sokongan kuat daripada Pengurus PDRM FA, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang Felda United.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tersebut, PDRM FA mampu menjinakkan skuad kendalian Mohd. Nidzam Jamil 1-0 selepas menemui gol tunggal pada lewat permainan menerusi rembatan bekas pemain Kelantan, Nor Farhan Muhammad.
“Harapan saya di PDRM FA pastinya untuk menang dan menang kerana saya percaya gandingan semua pemain yang ada dan berpengalaman pastinya pasukan akan lebih mantap selepas ini di bawah sentuhan Elavarasan,” ujarnya.
Sebagai rekod, selain Azmizi, PDRM FA juga membawa masuk dua lagi bekas pemain Perlis iaitu Shahril Saa’ri dan Mohd Shukor Azmi dalam usaha menjadi pasukan pencabar dalam saingan Liga Premier 2019. – K! ONLINE











