KUALA LUMPUR 25 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap terus memainkan peranan sebagai benteng utama dalam menjaga kesejahteraan rakyat untuk menjalani kehidupan selesa dan bebas daripada sebarang ancaman jenayah.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, sambutan Hari Polis ke-212 pada hari ini diharap akan memberikan lebih makna kepada perjuangan PDRM sekali gus menjadikan pasukan itu lebih dekat di mata rakyat.
Beliau yang juga veteran VAT69 Komando turut memberi saranan kepada pucuk pimpinan dan warga PDRM agar terus menjaga integriti dalam menjalankan amanah yang diberikan.
“Menjaga integriti dan memegang amanah yang dipertanggungjawabkan perlu menjadi pegangan seluruh warga PDRM dalam usaha memastikan imej pasukan tetap tinggi di mata masyarakat.
“Selamat menyambut Hari Polis ke-212 kepada seluruh warga kerja PDRM dan ahli keluarga mereka yang telah banyak menabur jasa serta pengorbanan dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











