PBT diberi kuasa gubal sendiri 
garis panduan - Utusan Malaysia

PBT diberi kuasa gubal sendiri 
garis panduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 7 Mac – Kerajaan negeri bersetuju memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggubal atau meminda garis panduan berkenaan kebiasaan masyarakat setempat termasuk tindakan restoran meletak meja makan di ruang letak kenderaan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, perkara itu walau bagaimanapun perlu mengambil kira beberapa aspek.

Katanya, aspek berkenaan termasuklah keselamatan, kebersihan, tidak menimbulkan kekacauan serta kelancaran aliran trafik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berhubung hal ini, PBT digalakkan untuk memanfaatkan ruang yang selalu diabaikan seperti laluan belakang, kaki lima dan lorong antara kedai sebagai langkah alternatif mengurangkan ancaman keselamatan.

“Sehubungan itu, PBT dan Ahli Majlis perlu memainkan peranan dengan mengadakan komunikasi antara pihak terlibat bagi mendapatkan konsensus menang-menang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Cheo Yee How (PH-Perling) berhubung tindakan kerajaan negeri untuk mengawal insiden kemalangan membabitkan kenderaan dan pe­langgan restoran yang membuka meja makan di kawasan letak kenderaan awam.

Tambah Hong Pin, ketika ini tidak ada sebarang garis panduan khusus bagi membenarkan para pengusaha restoran menjalankan aktiviti perniagaan di ruang letak kenderaan awam dengan meletakkan kerusi dan meja.

“Bagi memastikan pemilik restoran mematuhi syarat ditetapkan, Bahagian Penguat Kuasa PBT akan membuat pemantauan berkala, mengeluarkan tawaran kompaun dan notis peringatan serta tindakan menyita akan diambil ke atas pemilik sekiranya melakukan kesalahan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini