PUTRAJAYA 7 Mac – Kementerian Pembangunan Usahawan terus komited dalam mempertingkatkan pembangunan golongan usahawan di negara ini dengan sasaran untuk memastikan setiap daripada golongan itu menjalankan perniagaan yang lestari.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, pihak kementerian kini menggunakan pendekatan-pendekatan baharu untuk berinteraksi dengan golongan berkenaan dalam usaha mendapatkan input berguna bagi melonjakkan industri keusahawanan tempatan.
“Langkah ini selaras dengan janji kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu bumiputera dan India.
“Itu sasaran kita iaitu dalam usaha mempertingkatkan mereka justeru, apa juga maklumat perlulah proses dua hala. Ia bagi mengetahui apa yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) diketuai Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.
Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, kementerian akan mengumumkan serta menunjukkan data tentang peningkatan sektor keusahawanan negara ini masa akan datang.
Katanya, pertemuan seperti bersama DPMM hari ini dilihat dapat memberi sumbangan positif terhadap ekosistem pembangunan ekosistem tempatan.
Ditanya berhubung kritikan warganet terhadap isu pembinaan prototaip kereta terbang pertama negara, Mohd. Redzuan menjelaskan, beliau terbuka dengan perkara itu.
Menurutnya, pemahaman masyarakat berhubung peranan idea-idea berteraskan teknologi seumpama itu dalam menyumbang kepada pembangunan negara perlu dipertingkatkan.
“Kalau hendak sebut peranan industri berteraskan kereta terbang ini banyak. Ia merangkumi kecemasan, pemantauan dan keselamatan.
“Matlamat kita adalah untuk mengetengahkan idea usahawan tempatan yang sebenarnya telah menerajui pelbagai industri di luar sana termasuk aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Sementara itu, Syed Hussien memberitahu, pihak DPMM memberi sokongan penuh terhadap Kementerian Pembangunan Usahawan yang diterajui Mohd. Redzuan dalam melonjakkan nasib golongan usahawan di negara ini.
Jelas beliau, ini terutama apabila melihat komitmen tidak berbelah bahagi Mohd. Redzuan dalam menyantuni komuniti usahawan di peringkat akar umbi seluruh negara sejak memegang jawatan berkenaan. – UTUSAN ONLINE











