KOTA BHARU – Tiga lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan semalam selepas menjadi orang tengah yang dipercayai anggota sindiket rasuah melibatkan anggota polis dan orang awam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 petang, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 44 tahun ditahan di Pejabat SPRM Kelantan untuk membantu siasatan hasil maklumat seorang pengadu.
Pengadu tersebut melaporkan dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai seorang koperal polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.
Sumber berkata, koperal tersebut meminta wang rasuah sebanyak RM3,250 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas van, pemandu dan penumpang di bawah jagaan pengadu.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan antara pukul 7.39 petang hingga 8 malam kelmarin di Pejabat SPRM Kelantan.
Sementara itu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 9 pagi hari ini untuk mendapatkan perintah reman.
Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd. Rusli Ahmad membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 23 Mac depan untuk membantu siasatan.
Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE









