BUAT pertama kali, Lili Fazlena Mukhayen, 38, mahu melakukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan iaitu menaiki kenderaan awam ketika bercuti.
Apabila ditawarkan untuk turut serta dalam satu program anjuran Kementerian Pengangkutan iaitu Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19, wanita berasal dari Simpang Renggam, Johor itu tanpa berfikir panjang bersetuju.
Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19 merupakan satu pertandingan yang dianjurkan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).
Ia juga merupakan platform untuk mempromosi pengangkutan awam sebagai logistik pilihan untuk bercuti.
Dia yang juga selebriti laman sosial atau Influencer teruja apabila dimaklumkan bakal merasai pengalaman sama seperti peserta lain iaitu menggunakan mod kenderaan awam ke Langkawi dalam masa 24 jam.
Dia yang diundang sebagai jemputan memberitahu, ia adalah satu pengalaman baharu buatnya kerana kebiasaannya jika bercuti, dia dan suami akan menggunakan kereta sendiri atau menaiki kapal terbang.
“Saya tidak menyangka menaiki kenderaan awam merupakan satu opsyen perjalanan yang praktikal, malah ia lebih murah jika dirancang dengan teliti.
“Kenderaan awam hari ini jauh lebih selesa dan ia memberi peluang kepada pelancong untuk melihat kepelbagaian pemandangan dari kota ke desa di sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui K2 pada Majlis Penutup Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19 di Hotel Adya, Chenang, Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Dua lokasi
Tambah isteri kepada pelawak dan selebriti, Rahim Sepahtu itu, menariknya dalam Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19, dia juga dikehendaki untuk singgah di dua lokasi percutian sepanjang perjalanan menaiki kenderaan awam ke Langkawi.
Dia memilih untuk singgah di Butterworth, Pulau Pinang dan Alor Setar, Kedah kerana baginya dua lokasi itu dikenali dengan pelbagai tempat menarik dan kepelbagaian juadah yang boleh diterokai.
Percutian menggunakan mod kenderaan awam adalah salah satu kempen yang disarankan oleh Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk mendekatkan rakyat sekali gus membudayakan penggunaan kereta api, tren, bas, teksi, e-hailing, feri dan kapal terbang.
Seperti percutian beg galas di negara sendiri, penggunaan mod kenderaan awam juga merupakan usaha untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan memberi ruang kepada pelancong untuk menerokai lebih banyak tempat pelancongan di negara ini.
Menjadi selaku penganjur bersama untuk LIMA’19, Kementerian Pengangkutan juga buat pertama kali menganjurkan Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19 yang melibatkan orang awam sebagai peserta.
Cabaran yang telah berlangsung pada 16 hingga 17 Mac lalu itu melibatkan seramai 22 orang peserta daripada 11 kumpulan yang telah dipilih untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Pelancaran program dan pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, manakala perasmian penutup oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan, Syed Nasir Syed Ahmad.
Pemenang
Dalam pertandingan berkenaan, dua peserta dari Kuala Lumpur, Suhaini Rosyaidah Omar, 26, dan Kelvin Khew, 29, telah merangkul tempat pertama. Kedua-dua mereka memenangi wang tunai RM3,000 serta dua tiket penerbangan pergi balik ke Bangkok, Thailand.
Bercerita pengalaman menyertai Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19, Kelvin memberitahu, dia menggunakan mod pengangkutan tren, e-hailing, kapal terbang dan feri untuk ke Langkawi serta memilih Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar sebagai lokasi persinggahannya.
“Saya sudah biasa melancong dan daripada pengalaman sebelum ini, kenderaan awam memang sangat praktikal. Bezanya kali ini dalam Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19, saya dan Suhaini melancong dalam negara dengan kemudahan awam.
“Siapa sangka melancong menaiki kenderaan awam di negara sendiri sebenarnya memberikan pengalaman yang menarik dan berbeza. Kita bukan sahaja sampai ke destinasi percutian di bawah tempoh 24 jam tetapi dapat membahagikan masa untuk singgah ke beberapa lokasi berbeza dengan kos yang minimum,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dia dan Suhaini hanya membelanjakan kira-kira RM300 untuk perjalanan menaiki tren, bas dan kapal terbang ke Langkawi, malah jumlah itu mungkin berkurangan jika mereka menggunakan mod kenderaan darat sahaja.
Tambahnya lagi, dalam melaksanakan percutian menaiki mod kenderaan awam, perancangan adalah penting untuk memastikan perjalanan ke destinasi pilihan lancar dan tidak menelan kos yang berlebihan.
“Kita mempunyai pelbagai pilihan kenderaan awam yang boleh digunakan dan ia bergantung kepada pengguna untuk merancang perjalanan bergantung kepada tempoh masa yang mereka inginkan untuk sampai.
“Kapal terbang lebih cepat berbanding bas dan teksi. E-hailing pula lebih selesa, manakala kereta api dan tren amat memudahkan dengan jadual perjalanan yang lebih kerap. Soal kos itu, bergantung kepada mod apa yang dipilih,” ujarnya.
Sementara itu, Kamarudin memberitahu, pihaknya melihat penggunaan kenderaan awam dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu budaya yang perlu diterapkan, malah ia juga boleh menjadi alternatif pelancongan sama ada oleh penduduk tempatan mahupun pelancong luar negara.
Jelasnya, pihak kerajaan sentiasa memantau dan menitikberatkan pembangunan pengangkutan awam dalam usaha untuk menjadikan ia sebagai salah satu kemudahan yang praktikal selain selesa serta menjimatkan kos.
“Program ini adalah serampang dua mata dalam usaha pihak Kementerian Pengangkutan untuk mempromosikan kempen menggunakan kenderaan awam dan pada masa sama acara terbesar tahunan negara iaitu LIMA’19 yang bakal berlangsung mulai esok hingga 30 Mac ini.
“Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19 adalah indikator untuk kita melihat sejauh mana kenderaan awam dapat diimplikasikan sebagai logistik percutian selain memberitahu kepada orang awam berhubung opsyen logistik untuk ke LIMA’19,” ujarnya.
Dalam usaha mempromosi LIMA’19, Kementerian Pengangkutan menganjurkan Cabaran 24 Jam #Funtasticlima19 sebagai serampang dua mata untuk membudayakan penggunaan pengangkutan awam bagi ke acara tahunan terbesar itu selain meningkatkan sektor pelancongan dalam negara.











