KUALA LUMPUR 21 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi orang awam bagi membantu siasatan berhubung kes rumah urut yang beroperasi secara haram di ibu negara.
Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 28 dan 39 tahun itu masing-masing ditahan pada pukul 12.40 tengah hari dan 2.20 petang semalam di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur.
“Kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga 25 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Izzatul Nawarah Idrus di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi,” kata sumber di sini hari ini.
Tiga hari lalu, media melaporkan sebanyak 14 individu termasuk lapan penjawat awam dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan SPRM menerusi Op Jejak dan Op Kotaraya selepas disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket rumah urut di sekitar ibu negara.
Wang sogokan bagi melindungi premis rumah urut yang diterima oleh semua suspek terbabit adalah secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 diterima setiap bulan.-UTUSAN ONLINE











