SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga emas yang kudung kaki kirinya ditahan bersama tujuh lagi penagih dalam Ops Cegah 7 di Bagan Sungai Besar di sini semalam.
Dalam serbuan selama tiga jam bermula 7 pagi itu, kesemua penagih yang diberkas berusia 34 hingga 61 tahun.
Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabak Bernam, Zulazli Hashimuddin berkata, siasatan awal mendapati OKU berusia 61 tahun itu telah terlibat dalam dadah sejak 35 tahun.
Katanya, dia bergelar OKU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya difahamkan kira-kira 20 tahun yang lalu.
“Warga emas itu yang memakai kaki palsu diberkas ketika memasuki ‘port’ dadah sewaktu serbuan dilakukan AADK.
“Kita masih menyiasat sama ada warga emas itu penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulazi menambah, hasil ujian air kencing terhadap OKU dan tujuh lagi individu didapati positif dadah jenis morfin.
Jelas beliau, kesemua penagih ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE











