KUALA LUMPUR 5 Mac- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menafikan berlakunya gangguan bekalan air di beberapa kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat serta Hulu Selangor bermula 6 Mac ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syabas, Abdul Raof Ahmad dalam satu kenyataan berkata, notis gangguan bekalan air yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan media sosial itu adalah tidak benar dan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pihak Air Selangor tidak mengeluarkan sebarang notis berhubung gangguan tersebut dan maklumat yang disebarkan itu adalah merujuk kepada gangguan bekalan air berjadual pada tahun lepas.
“Diharapkan, penyebaran notis itu dihentikan segera bagi mengelakkan kekeliruan kepada pelanggan,” katanya di sini hari ini
Untuk mendapatkan maklumat yang sahih, orang ramai boleh melayari laman web www.syabas.com.my. . – UTUSAN ONLINE










