KUALA LUMPUR 23 Mac – Jaguh golf negara, Nicholas Fung akui keadaan green di Kelab Golf Saujana & Country yang mencabar memerlukan dia sentiasa berhati-hati melakukan putt dalam misi memburu kelompok 10 terbaik Kejohanan Maybank 2019.
Hari ini Nicholas kekal sebagai terbaik Malaysia dalam aksi pusingan ketiga kejohanan selepas mencatat tiga di bawah par untuk keseluruhan enam di bawah par 210 pukulan.
Catatan tersebut membolehkan Nicholas menamatkan aksi dalam kedudukan 13 terbaik hari ini.
Kata Nicholas, dalam aksi pusingan keempat esok dia mahu berusaha melakukan 62 pukulan.
“Petua untuk bermain baik di sini adalah memastikan bola anda sentiasa berada di atas fairway.
“Saya tiada perancangan untuk esok, cuma mahu memberikan permainan terbaik dan elak daripada melakukan kesilapan besar yang dapat menjejaskan skor,” kata Nicholas.- UTUSAN ONLINE











