IPOH 1 Mac – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pelaksanaan bayaran masuk yang dikenakan kepada pelancong ke kawasan tumpuan di Cameron Highlands, Mossy Forest berkuatkuasa hari ini.
Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) berkata, berdasarkan notis Jabatan Perhutanan Pahang, bayaran masuk untuk pengunjung dewasa sebanyak RM10, kanak-kanak dan warga emas RM5 manakala orang kurang upaya (OKU) percuma.
Presiden REACH, R. Ramakrishnan berkata, pengunjung bukan warganegara Malaysia pula dikenakan RM30 bagi dewasa dan warga emas, RM15 untuk kanak-kanak dan kemasukan percuma untuk golongan OKU.
Menurut, pelaksanaan bayaran masuk ke Mossy Forest agak mengejutkan kerana sebelum ini pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran.
“REACH meminta pelaksanaan bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung dikaji semula. Ini disebabkan pelbagai faktor antaranya bayaran tersebut tidak setimpal dengan kemudahan awam seperti tandas di kawasan ini.
“Pelaksanaannya juga agak terburu-buru kerana tidak berbincangan masyarakat setempat. Kami tidak mahu pelaksanaan bayaran ini kerana mahu buat duit sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ramakrishnan, berdasarkan tinjauan beliau di pintu masuk ke Mossy Forest, didapati tiada kaunter tiket khas dibuka untuk pengunjung membeli tiket.
Katanya, sebaliknya hanya sebuah meja disediakan sebagai tempat jualan selain tandas awam juga masih belum siap.
“Saya juga dapati tiket yang diberikan kepada pengunjung berlambangkan Taman Eko Rimba, bukannya Mossy Forest dan hanya dicop harga tiket.
“Ini jelas menunjukkan pelaksanaanya caj bayaran ini tidak dibuat dengan perancangan yang teliti malah notis pelaksanaannya juga ditampal baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaanya bayaran masuk sepatutnya dikenakan setelah pelbagai perubahan dibuat khususnya kemudahan awam di kawasan berkenaan.
“Kami juga mahu penjelasan adakah pengunjung yang mahu ke Gunung Irau dikenakan bayaran kerana untuk ke gunung itu perlu melalui Mossy Forest. Jika tetap dikenakan bayaran, bermakna pengunjung yang mahu ke Gunung Irau terpaksa membuat bayaran berganda,” katanya. – UTUSAN ONLINE










