Negeri Sembilan, Sabah sekadar berkongsi mata - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan, Sabah sekadar berkongsi mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 9 Mac – Hasrat Sabah untuk melonjak ke puncak liga terbantut apabila sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam tadi.

Kedua-dua pasukan gagal mempamerkan permainan menarik dalam separuh masa pertama yang dibayangi dengan hantaran kurang kemas dan tiada serangan yang benar-benar menggugat kubu lawan.

Pada minit ke-24, pasukan tuan rumah hampir membolos gawang lawan namun tandukan tajam pemain import dari Brazil, Jose Almir Barros Neto menuju terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasukan pelawat juga terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-40 apabila tendangan leret Luiz Junior tersasar di kiri palang gol Negeri Sembilan.

Situasi itu berlarutan pada separuh masa kedua dalam rentak permainan yang hambar.

Serangan anak buah Mohd. Zan Mat Aris dan Jelius Tabias Ating ke kubu lawan menemui jalan buntu sehingga wisel penamat dibunyikan.

Daripada lima perlawanan sebelum ini, Sabah mencatatkan tiga kemenangan dan masing-masing sekali seri dan kalah, manakala Negeri Sembilan hanya memperoleh tiga kali seri dan masing-masing sekali menang dan kalah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini