KUALA LUMPUR 12 Mac – Nasib penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Pulau Pinang terutamanya anak-anak kecil yang terlibat dalam polemik pengusiran oleh kerajaan negeri perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias berkata, walaupun isu PPR Taman Manggis berlanjutan hampir seminggu dan mendapat liputan meluas seluruh negara, nasib mangsa yang terlibat mestilah dibela.
“Pelbagai polemik berlaku sepanjang isu ini yang tular, aksi bertegang urat, tuduh menuduh dan pelbagai fitnah dilemparkan. Berakhirnya polemik ini, kita berharap mangsa-mangsa terlibat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Bagi semua pihak lain, hormatilah sensitiviti semua pihak. Ini bukan sekadar isu pengusiran semata-mata tapi turut melibatkan isu kemanusiaan, negara ini negara yang bertuah dan berdaulat, jangan dicemarinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Gerakan Belia 4B Pulau Pinang mengucapkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu-individu yang memainkan peranan memastikan mangsa pengusiran rumah PPR Taman Manggis mendapat pembelaan.
“Sekali lagi terima kasih kepada semua pihak atas kesungguhan, iltizam, semangat, tenaga kerja, keringat, wang ringgit, masa dan segala-galanya yang dicurahkan sepanjang isu ini berlanjutan.
“Terima kasih atas daya usaha kalian sehingga menyebabkan kerajaan negeri setuju untuk berbincang dan mengambil tindakan positif yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











