'Nak makan apa kalau potongan tinggal RM90' - Utusan Malaysia

‘Nak makan apa kalau potongan tinggal RM90’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mac – Dengan baki tunai di tangan hanya RM90 untuk sebulan, peneroka nak makan apa?

Soalan itu dibangkitkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) dalam sesi perbahasan Titah Diraja Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini setelah mendedahkan terdapat peneroka yang ditolak pendapatan mereka walaupun jumlahnya hanya sedikit.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, resit yang ditunjukkan kepada beliau menunjukkan pendapatan peneroka dipotong dengan alasan pendahuluan tunai yang tidak jelas tujuannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam sidang yang lalu, kita dijanjikan peneroka tidak akan dibuat potongan hasil sekiranya pendapatannya kurang daripada RM1,500.

“Saya ingin bertanya kepada menteri berkenaan, apakah maksud potongan pendahuluan tunai? Peneroka tanam sendiri dan apabila ditanya kepada pihak pengurusan Felda, mereka tidak dapat menjelaskan,” katanya.

Beliau menunjukkan tiga resit peneroka yang diberikan kepada beliau yang satunya mencatatkan hasil seorang peneroka hanya sebanyak RM484.17 namun dipotong sehingga RM392, meninggalkan baki tunai di tangan peneroka pada bulan itu hanya tinggal RM92.17.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut memberi teguran kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya mengurangkan permainan politik dengan menyalahkan kerajaan terdahulu dan memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.

“Mana ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) yang dilantik untuk menyelesaikan masalah bukannya menyalahkan CEO yang lepas. Rakyat sudah naik muak dengan alasan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Kerajaan perlu sedar ia sedang mengalami defisit kejujuran dan integriti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini