LIPIS 8 Mac – Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggambarkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai ‘ peingisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu merupakan provokasi keterlaluan dan bersifat hasutan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun percaya pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan meskipun ia berunsur hasutan dan laporan polis dibuat oleh banyak pihak.
“Itu merupakan satu kenyataan yang tidak masuk akal dan memang boleh dianggap kenyataan provokasi yang keterlaluan.
“Tidak ada apa yang boleh dipertikaikan kerjasama UMNO dan Pas, kerjasama itu adalah untuk kebaikan penyatuan ummah dan kita juga bekerjasama dengan bukan Islam maknanya kita menjaga hak bukan Islam,” katanya pada majlis Kenduri Sekampung di Perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Sungai Koyan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – UTUSAN ONLINE











