KUALA LUMPUR 18 Mac – Organisasi bantuan kemanusiaan, Malaysian Relief Agency (MRA) telah menyalurkan pelbagai sumbangan bernilai RM18 juta sepanjang 10 tahun ditubuhkan.
Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, bantuan tersebut meliputi semua misi kemanusiaan dan kemasyarakatan di dalam dan luar negara.
“MRA telah ditubuhkan pada 1 Mac 2009 dengan bermodalkan sumbangan berbentuk sebuah meja dan kerusi, set komputer serta sumbangan wang tunai RM20,000.
“Kini MRA mempunyai aset bernilai RM1.2 juta dan pembukaan beberapa cawangan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Johor, Sabah serta Sarawak manakala di peringkat antarabangsa di Yemen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Daud, lebih membanggakan apabila penglibatan MRA di peringkat antarabangsa telah menerima pengiktirafan antaranya ‘United Nation Economic Social Consultation Council’ dan ‘World Humanitarian Summit’ sejak tahun 2014.
Jelas beliau, penghargaan tersebut susulan penglibatan aktif MRA dalam menyuarakan mengenai isu sosial dan ekonomi di New York.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Daud memberitahu, bilangan sukarelawan MRA telah mencecah seramai 3,000 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa di seluruh dunia selain melatih 1,000 orang melalui modul terpilih.
“Keahlian MRA terbuka kepada semua, walau bagaimanapun kekuatan pasukan kami adalah kepakaran perubatan di mana terlibat banyak bantuan kecemasan dan kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











