Mowgli Malaysia ditahan di wad HSNZ  - Utusan Malaysia

Mowgli Malaysia ditahan di wad HSNZ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Mac – Muhammad Syukur Khamis, 14, yang terkenal dengan jolokan Mowgli Malaysia ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selepas menjalani rawatan awal di Unit Kecemasan pada pukul 9 malam tadi.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu dikejarkan ke HSNZ selepas terjatuh dari kerbau sewaktu menjalani sesi fotografi bersama seorang jurugambar dari Pulau Pinang pada pukul 8 pagi.

Abangnya, Muhamad Alias, 29, berkata, ketika kejadian adik bongsunya cuba melompat dari belakang seekor kerbau untuk ke seekor kerbau lain namun, hilang imbangan sebelum terjatuh ke tanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syukur mengadu pening dan kemudian termuntah sejurus selepas terjatuh tetapi keadaannya nampak stabil. Bahkan, sempat mengikut saya keluar ke bandar Kuala Terengganu pada petang tadi (semalam),”  katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan HSNZ di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, Mohd. Alias berkata, Muhammad Syukur kembali muntah menjelang senja lalu mereka sekeluarga segera menghantarnya ke HSNZ untuk pemeriksaan. 

Katanya, sewaktu menjalani pemeriksaan rawatan awal di wad kecemasan, pegawai perubatan bertugas memutuskan untuk menahan Muhammad Syukur bagi menjalani prosedur imbasan kepala dalam masa terdekat.

“Setakat ini, dia masih belum tersenyum dan nampak agak lemah. Saya mohon doakan kesejahteraan adik saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini