DUNIA hidangan tidak pernah hilang dinamiknya. Ia sentiasa berkembang, sama ada muncul menu baharu atau masakan lama yang diperbaharui dengan elemen campuran bahan mentah terkini.
Perkembangan itu mengundang keterujaan orang ramai sama ada ingin menguji sejauh mana keenakannya atau bercita-cita untuk menambah senarai hidangan ketika makan bersama ahli keluarga di rumah.
Mungkin suasana itu boleh dinikmati di restoran Gajah Mada yang terletak di pusat beli-belah MyTOWN, Jalan Cochrane, Cheras, Kuala Lumpur. Restoran itu menawarkan hidangan istimewa santapan diraja Asia Tenggara.
Sajian tersebut boleh dinikmati melalui hidangan yang menampilkan masakan asli komuniti istana Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia, Malaysia dan Vietnam pada harga berpatutan.
Ia sejajar dengan hasrat Ketua Cef restoran itu, Isan Santibi yang begitu bersemangat untuk menakluk cita rasa rakyat Malaysia. Berbekalkan pengalamannya selama 25 tahun sebagai ‘bahan utama’ dalam mencipta menu di restoran Gajah Mada, beliau mahu impiannya itu menjadi realiti.
Tambahan pula, beliau dibantu oleh pengalaman ‘abangnya’ iaitu restoran The Majapahit yang terletak di Arcoris Mont Kiara, Kuala Lumpur.
“Restoran itu terlebih dahulu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.” kata Eksekutif Pemasaran The Majapahit, Nur Farah Aini Mohd. Noor kepada Mega Rona.
Nur Farah Aini yang ditemui di restoran Gajah Mada berkata, menu di restoran tersebut menampilkan masakan Asia Tenggara selain memperkenalkan menu baharu seperti mi, minuman istimewa dan pencuci mulut yang wajib dicuba.
Bukan itu sahaja tambahnya, pengunjung juga dapat menikmati suasana restoran bertemakan tropika yang membawa mereka kembali ke zaman kegemilangan kerajaan Majapahit.
“Tetapi apa yang paling penting adalah kami mempersembahkan santapan ala diraja pada harga yang sangat berpatutan,”katanya.
Antara hidangan enak yang mesti dicuba adalah Signature Plates Gajah Mada iaitu hidangan kombo juadah Asia Tenggara yang digemari sepanjang zaman iaitu Bandung Style Green Chilli Chicken Plate.
Hidangan itu merupakan daging ayam digaul bersama sambal hijau manis dan masam disajikan dengan nasi kukus wangi, cucur jagung dan tempe tapai kering.
Selain itu, Green dan Red Curry Plates serta Vietnamese Chicken Chop with Fried Rice yang ayamnya dipanggang berencah cuka, serai dan bawang putih dihidang bersama nasi gaya Vietnam yang diharumkan dengan pes udang.
Bagi Premium Signature Plates pula menampilkan gabungan pembuka selera sup beraroma dan hidangan utama yang akan memenuhi selera pengunjung dengan hidangan yang mantap.
Menyentuh aspek pencuci mulut dan minuman pula, restoran Gajah Mada menawarkan pelbagai jenis menu seperti Aromatic Banana with Cheese & Almond goreng dan Ice Cream Pillow yang disisip di dalam roti putih yang rangup.
Selain itu, terdapat juga minuman Fruity Happy Soda iaitu sirap pandan koko merah saga dicampur dengan susu sejat dan air soda dihiasi pula dengan buah-buahan manis dan masam.











