STROVOLOS 25 Mac- Roberto Martinez memuji Belgium kerana memperagakan persembahan yang sangat matang ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Cyprus dalam aksi pembukaan Kumpulan I, kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.
Biarpun beraksi di padang yang tidak memuaskan, Belgium tidak berdepan masalah besar untuk meraih kemenangan menerusi jaringan Eden Hazard pada minit ke-10 dan merupakan penampilan antarabangsa ke-100 buat pemain Chelsea itu.
Michy Batshuayi menggandakan jaringan lapan minit kemudian untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-0 dan kedudukan itu kekal hingga perlawanan tamat walaupun ada yang menjangkakan Belgium akan menang dengan jurang yang lebih besar.
“Perlawanan seperti ini sukar jika anda tidak bermula dengan baik. Sudah tentu ia aksi yang sukar kerana padang dalam keadaan yang sangat kering.
“Untungnya, kami bermula dengan baik, membuat gerakan berkesan dan meraih dua gol awal. Selepas rehat, kami mengawal permainan dan kami beraksi dengan sangat matang.
“Enam mata penuh merupakan pencapaian sempurna terhadap kerja keras kami tetapi kami belum mencapai apa-apa. Kami perlu terus memberi tumpuan kepada dua perlawanan seterusnya, iaitu menentang Kazakhstan dan Rusia (pada Jun nanti),” kata Martinez kepada VTM. – AGENSI











