PUTRAJAYA 19 Mac – Wisma Putra mengesahkan bahawa sebanyak 17 orang mangsa gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia akan diterbangkan pulang dengan menaiki penerbangan Air Asia AK309 hari ini.
Jelasnya, mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 3.15 petang.
“Jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam bencana ini, mendiang Datin Tai Siew Kim dan mendiang Lim Sai Wah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada pukul 5.10 petang dengan pesawat Garuda Indonesia GA816 serta diiringi oleh ahli keluarga.
“Sementara itu, empat orang mangsa masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, Wisma Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Republik Indonesia dan pihak-pihak berkuasa tempatan atas kerjasama baik yang telah diberikan.
“Wisma Putra ingin mengingatkan kepada rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya mendaftarkan diri dengan pihak perwakilan Malaysia di negara yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











