KUALA LUMPUR 7 Mac – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sepatutnya sudah mendapat jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, David Patrick namun sehingga hari ini ‘batang hidung’ bekas pemenang pingat emas Piala Dunia itu belum kelihatan di Bukit Jalil.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berharap, Majlis Sukan Negara (MSN) segera menunaikan janji untuk membawa Patrick selepas tiga bulan menunggu khidmat jurulatih berkenaan.
Katanya kelewatan membawa jurulatih itu datang ke Malaysia akan menjejaskan persiapan mereka untuk menghadapi Sukan SEA di Manila, November itu.
“Sebelum ini kata bulan satu, lepas itu bulan dua dan sekarang bulan tiga pula.
“Kali ini saya harap MSN dapat tunaikan janji mereka secepat mungkin kerana kami amat perlukan khidmat jurulatih berkenaan terutama atlet pecut yang tidak dapat ke luar negara.
“Saya masih bersabar dan kita tunggu lagi bulan ini.
“Harap MSN dapat tunaikan janji untuk bawa jurulatih itu bulan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dua bulan lalu, KOM memaklumkan Patrick berada dalam fasa akhir untuk ke Malaysia selepas berbincang dengan MSN dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada 15 Januari lalu.
Bagaimanapun pada penghujung Januari lalu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin memaklumkan mereka masih menunggu dokumen yang belum dilengkapkan Patrick sebelum boleh membawa jurulatih itu ke Malaysia.
Patrick, 58, dari Illinois menjadi pilihan KOM berikutan pengalaman luas jurulatih berkenaan selain pernah meraih kejayaan dalam dua disiplin sukan, lari lompat pagar dan pecut semasa zaman kegemilangan nya di penghujung 1980 hingga awal 1990-an.
Patrick menjadi sebutan olahraga dunia selepas memenangi pingat emas 400 meter lari berpagar dalam Piala Dunia 1989 di Sepanyol.











