PUTRAJAYA 11 Mac- Malaysia akan meneruskan kerjasama erat dengan negara-negara Komanwel dalam bidang pencegahan fahaman pelampau keganasan, keamanan dan keselamatan, perdagangan, pembangunan mampan dan pemerkasaan wanita dan belia.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, negara-negara ahli Komanwel telah menjalinkan kerjasama yang erat antara satu sama lain selama 70 tahun terutamanya dalam mengekalkan keamanan, pembangunan mampan ekonomi dan pembangunan sosial.
“Pada hari ini Malaysia bersama ahli keluarga Komanwel yang lain meraikan ulang tahun Komanwel moden yang ke-70 dengan tema ‘A Connected Commonwealth’.
“Tema itu memaparkan nilai-nilai praktikal dan kerjasama yang berpanjangan hasil daripada perkongsian kepelbagaian budaya bangsa serta kerjasama muhibah dalam persahabatan di antara negara-negara Komanwel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Menurut kementerian itu, bagi Malaysia, tema ‘A Connected Commonwealth’ dapat membuka ruang untuk negara-negara ahli Komanwel untuk maju bersama meskipun dalam kepelbagaian, berteraskan nilai dan prinsip Piagam Komanwel.
Katanya, sebagai ahli Commonwealth Secretariat Countering Violent Extremism Unit Steering Group, Malaysia dengan bekerjasama Sekretariat Komanwel dan Royal Commonwealth Society akan menganjurkan “Commonwealth Youth Dialogue Conference: Youth Workshop on International Peace and Security and Building Community Resilience from the Ground Up” di Kuala Lumpur pada 2 hingga 5 April depan.
“Manakala dalam bidang perdagangan dan pemerkasaan wanita pula, Malaysia telah bekerjasama dengan Sekretariat Komanwel dan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) untuk menganjurkan Workshop on Inclusive Trade in Commonwealth, pada 29 hingga 30 Januari lalu,” kata kementerian itu.
Dalam pada itu katanya, Malaysia akan terus berusaha untuk mempertahankan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Komanwel dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan global, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pembangunan sosial.-UTUSAN ONLINE











