Tahukah anda sekarang ini penyakit gusi telah mengatasi kaviti sebagai faktor utama kehilangan gigi dalam kalangan orang dewasa? Penyakit gusi disebabkan plak yang berlanjutan terbentuk antara gigi, di sepanjang garisan gusi dan dalam poket gusi adalah berpunca daripada kurangnya amalan memberus gigi.
Kajian pada 2010 menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah gusi. Satu kaji selidik baru-baru ini yang dijalankan oleh Lion Corporation di Malaysia ke atas 450 orang dewasa di negara ini menunjukkan 80 peratus responden mempunyai sekurang-kurangnya satu tanda dan gejala penyakit gusi yang ketara dan kebiasaannya adalah gusi berdarah atau bengkak. Namun hanya satu peratus menyedari mereka mempunyai penyakit gusi.
Punca utama penyakit gusi adalah plak iaitu lapisan lembut dan melekit serta mengandungi berbilion bakteria. Apabila plak terbentuk antara gigi, di sepanjang garisan gusi dan di dalam poket gusi, toksin daripada bakteria tersebut akan merosakkan tisu gusi.
Menurut Presiden Persatuan Periodontologi Malaysia, Dr. Ahmad Sharifuddin Mohd. Asari, penyakit gusi sangat berleluasa di Malaysia. Gusi yang sihat boleh dicapai melalui penyingkiran plak di kawasan berisiko tinggi seperti poket gusi dan garis gusi.
“Berus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari dan sila hadiri temu janji dengan doktor secara berkala. Jangan abaikan tanda-tanda awal penyakit gusi seperti gusi berdarah, gusi merah dan bengkak. Dapatkan bantuan profesional jika anda mempunyai tanda-tanda masalah gusi dan dapatkan rawatan dengan segera kerana penyakit gusi boleh diatasi pada peringkat awal,” katanya pada majlis pelancaran ubat gigi anti-plak Systema Advance baharu, baru-baru ini.
Ubat gigi ini memberi perlindungan 24 jam daripada bakteria mulut dengan mengamalkan memberus gigi dua kali sehari serta empat kali perlindungan lebih baik terhadap masalah gusi berbanding ubat gigi biasa.











