KUANTAN – Sebuah lori tangki yang membawa muatan penuh minyak petrol terbakar di Kilometer 51.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Timur berhampiran Lentang, hari ini.
Menurut kenyataan pemegang konsesi KLK, Anih Berhad, kejadian pada pukul 5.15 petang itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih tujuh kilometer bermula dari Kilometer 44.5 hingga 51.4 berikutan kesemua lorong terpaksa ditutup bagi memudahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja pemadaman api.
“Laluan kembali dibuka secara berperingkat pada pukul 6.30 petang tadi selepas operasi pemadaman selesai dilakukan sepenuhnya oleh bomba,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Balai JBPM Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, kebakaran melibatkan keempat-empat bahagian tayar sebelah kanan lori berkenaan sebelum merebak ke bahagian belakang lori tangki minyak itu.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dibantu 11 anggota bomba sukarela, kita berjaya mengelak kebakaran menjadi lebih serius dan tangki minyak berjaya disejukkan.
“Kebakaran berjaya dikawal tidak sampai dua minit menggunakan air dari tangki bomba dan tiada sebarang kebocoran tangki dikesan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan, katanya. – Bernama











