LIMA'19 bermula hari ini - Utusan Malaysia

LIMA’19 bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula hari ini dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dijadualkan merasmikan pameran itu pukul 8.30 pagi diiringi beberapa pemimpin kanan lain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, persiapan telah dilaksanakan dengan kesemua aset yang terlibat dalam LIMA’19 telah tiba di Langkawi semalam.

“Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menarik pelaburan dan membangunkan rantaian pembekalan tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil daripada pameran ini amat berguna untuk kita meluaskan rangkaian, menetapkan keutamaan, mengimbang dan menyusun semula strategi kita untuk memperkasakan (kedua-dua) industri,” kata­nya semasa berucap pada program minum petang bersama petugas media di sini semalam. Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, perkembangan program-program dalam sektor komersial melibatkan syarikat aeroangkasa dan maritim membuktikan usaha kerajaan untuk membangunkan sektor berkenaan.

Semalam, petugas media dibawa melihat ruang pame­ran di Dewan Pa­meran Antara­bangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL) pada program walkabout media sebelum menyer­tai majlis minum petang tersebut.

Edisi kali ini merangkumi 60 peratus pengisian dalam industri pertahanan dan 40 peratus komersial membabitkan penyertaan 406 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang melibatkan 32 negara.

Antara aksi yang bakal menarik perhatian pengunjung ialah demonstrasi pasukan aerobatik tempatan, Krisakti dan pasukan aerobatik Rusia, Russian Knights.

Persidangan antarabangsa, seminar, pameran statik dan pertunjukan udara akan diadakan di MIEC manakala pameran kapal perang, pameran statik maritim serta demonstrasi maritim di RWL.

Acara dwitahunan itu akan berlangsung hingga 30 Mac ini. Orang ramai dibenarkan masuk pada dua hari te­rakhir pameran.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini