LANGKAWI 27 Mac – Pameran seumpama Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) saban kali dapat mempertingkatkan lagi keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelbagai aspek.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antaranya ialah ‘Kesedaran Medan Tempur (Battlespace Awareness)’. Perkara ini amat penting kerana ia akan memberi maklumat dan perisikan terkini serta tepat tentang keadaan sebenar medan tempur yang bakal dihadapi dalam pelaksanaan sesuatu operasi ketenteraan.
“Aset dan peralatan yang moden serta canggih akan membolehkan ATM untuk mengesan pergerakan pihak musuh dan juga mempertingkatkan keupayaannya untuk melaksanakan penugasan ISR & T (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance & Targetting).
“Dalam konteks ini, aset-aset seperti Unmanned Aerial Vehicles (UAVs), drones, radars, Global Positioning Systems (GPS) dan lain-lain amat perlu diadakan demi untuk memastikan kejayaan perlaksanaan sesuatu operasi atau penugasan yang dipertanggungjawabkan,” titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin sejurus berangkat tiba dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Kuala Perlis di Jeti Resort World Porto Malai, Langkawi bagi menghadiri LIMA 2019 petang tadi.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said.
Turut berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tambah baginda lagi, aset-aset moden dalam penguasaan Teknologi Maklumat atau Information Technology (IT) dan juga untuk Peperangan Siber amat penting di dalam peperangan serta operasi masa kini dan juga pada masa hadapan.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memperolehi keupayaan di dalam kedua-dua aspek ini demi untuk mempertingkatkan kapasiti serta kapabilitinya untuk melaksanakan pelbagai misi serta penugasan dalam medan tempur yang serba moden dan dinamik.
“Revolusi Industri 4Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) telah membuka beberapa domain baru termasuk Domain Siber dan Domain Angkasa yang mana sebelum ini tidak diketahui ramai, titah baginda.
Menurut baginda, kini kedua-dua domain tersebut pesat dibangunkan, yang mana akan memberi ATM akses kommunikasi antara elemen daratan, maritim dan udara.
“Ini sekali gus akan memperkukukan lagi keupayaan ATM melaksanakan tugas-tugas operasi, khususnya yang melibatkan ketiga-tiga Perkhidmatan ATM,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE











