KUALA LUMPUR 18 Mac – Lima buah premis yang terus berdegil menjalankan aktiviti pelacuran di sekitar kawasan Kepong di sini disita dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram ( Ops Bah 2.0) hari ini.
Operasi yang berlangsung kira-kira dua jam bermula pukul empat petang itu melibatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor.
Menurut Ketua Operasi Ops Bah 2.0, Osman Ismail, kelima- lima premis itu didapati beroperasi tanpa lesen dan pernah disita pada hujung tahun lepas.
“Walaupun pernah diserbu dan disita sebelum ini, premis berkenaan tetap berdegil meneruskan aktiviti seks di premis sama. Oleh itu, kali ini tindakan memotong bekalan air premis turut dilakukan Syabas.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa, pemilik premis menjalankan perniagaan itu melalui laluan belakang dan pintu kedai akan sentiasa ditutup,” katanya dalam sidang akhbar ketika ditemui selepas Ops Bah 2.0. – UTUSAN ONLINE











