JOHOR BAHRU – Juara lima kali Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) terus menunjukkan penguasaannya pada saingan musim ini apabila berjaya membenam PKNP 3-0 dalam aksi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Pemain tengah JDT, Leandro Sebastian terlebih dahulu meletakkan pasukan Harimau Selatan dihadapan apabila meledakkan gol sulung perlawanan pada minit ke-26.
Tersentak jaringan itu, pasukan pelawat membuat serangan balas mencari gol penyamaan namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.
Kesilapan pemain pertahanan PKNP, Amani Manual Aguinaldo menjatuhkan Diogo Luis dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-35 mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Diogo.
Memasuki minit ke-41, JDT sekali lagi dihidangkan dengan sepakan penalti apabila penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi Suhaimi menjatuhkan pemain JDT.
Pemain import, Gabriel Cabrera tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan sekaligus menghadiahkn gol ketiga buat JDT.
Kemenangan mengutip tiga mata penuh itu sekaligus mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan apabila merampas kedudukan takhta Liga Super daripada Pahang setelah mengutip 16 mata. – K! ONLINE.











