Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kedai - Utusan Malaysia

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 28 Mac – Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai menyimpan barangan lusuh di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Padang Temu di sini tengah malam tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam dan mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan rentung dalam keadaan terduduk pada dinding sebuah bilik di bangunan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Penguasa Bomba Samser Shariff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.17 tengah malam dan sebanyak 23 anggota termasuk dari BBP Jalan Kubu dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan bomba tiba dua minit kemudian dan mendapati sebuah rumah kedai berkeluasan 278 meter persegi telah terbakar kira-kira 50 peratus manakala semua barangan lusuh telah musnah.

“Pasukan kami turut menjumpai seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang telah rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.42 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz, polis pihaknya menerima laporan kebakaran tersebut pada pukul 12.45 tengah malam dan sepasukan anggota dari Unit Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian, pasukan bomba telah berada di lokasi bagi kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pemeriksaan lanjut di rumah kedai tersebut menemukan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang telah rentung di sebuah bilik bahagian belakang,” katanya sambil memberitahu pemeriksaan pada tubuh si mati tidak menemukan sebarang kesan jenayah.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini