KUALA LUMPUR 12 Mac – Perwakilan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap lebih ruang diperuntukkan kepada wanita dan belia dalam kepemimpinan badan koperasi tersebut.
Perkara itu merupakan antara cadangan yang dikemukakan dalam Persidangan Angkasa Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung hari ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan itu wajar memandangkan jumlah keahlian golongan itu begitu besar dalam gerakan koperasi.
Beliau malah berkata, Pindaan Undang-Undang Kecil Angkasa bagi tujuan itu telah diluluskan di Persidangan Kebangsaan Angkasa tahun lalu dan pihaknya ketika ini sedang menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Apabila pindaan undang-undang kecil itu diluluskan nanti maka mereka akan ada lebih banyak ruang dan sekali gus membolehkan Angkasa melantik mereka mengikut sektor-sektor tertentu.
“Ketika ini, mereka tidak boleh dilantik kerana masih tertakluk kepada peraturan yang lama,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Persidangan Angkasa Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Nasir Khan Yahaya. – UTUSAN ONLINE











