PERMATANG PAUH 23 Mac – Lebih 45,000 isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) telah menerima manfaat menerusi program Food Bank Malaysia yang dilancarkan secara rasmi bermula Disember tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara tidak langsung program itu berjaya menyelamatkan 1,055 metrik tan lebihan makanan daripada dibuang begitu sahaja.
“Di Pulau Pinang sahaja lebih 37,000 isi rumah menerima manfaat daripada program Food Bank Malaysia ini.
“Program ini merupakan program secara berterusan dan bukan dijalankan secara ad hock bagi memberikan manfaat kepada semua golongan yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Food Bank Siswa peringkat negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Yang turut hadir Penaja Bersama Program Food Bank Siswa negeri, Datuk KK Sihabutheen yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PPRIM).
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, seramai 1,000 pelajar iaitu 800 dari UiTM dan 200 dari Politeknik Seberang Perai menjadi penerima program Food Bank Siswa peringkat negeri yang dilancarkan secara rasmi hari ini. – UTUSAN ONLINE











