KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 penduduk di daerah Kuala Muda, Kedah mengalami gangguan bekalan air berikutan fenomena cuaca panas melampau sehingga semalam, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.
Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, dan Singkir.
Xavier berkata, cuaca kering menjejaskan sumber air mentah ke tiga loji rawatan air (LRA) yang membekalkan air ke kawasan terjejas menyebabkan LRA Tupah Headwork, LRA Merbok Headwork dan LRA Gurun mengeluarkan air terawat pada kadar 50 peratus sahaja.
“Antara langkah mitigasi yang diambil oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) termasuk penghantaran air melalui lori-lori tangki yang disewa dan bantuan daripada operator-operator air dan penempatan tangki-tangki statik di kawasan strategik,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu, katanya bantuan lori ‘prime mover’ berkapasiti 5,000 gelen oleh pihak bomba turut dilakukan, serta pencarian air bawah tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains. – Bernama











