KUALA LUMPUR 12 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) menempelak laungan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dilihat sengaja mencetuskan provokasi terhadap majoriti masyarakat di negara ini.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, laungan LGBT itu sama sekali bertentangan dengan budaya rakyat di negara ini yang menjunjung nilai agama dan ketimuran.
“Kebebasan ada had yang disempadani dengan batasan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, agama dan norma masyarakat.
“Peserta himpunan tersebut wajar tidak mengundang ‘provokasi yang tidak wajar’ yang merosakkan ketenangan dan kestabilan masyarakat kerana keamanan terlebih penting untuk diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perarakan di Dataran Merdeka baru-baru ini, apabila terdapat pihak bertindak melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu sempena sambutan Hari Wanita yang diadakan.
Jelas Jufitri, MBM mengambil masa untuk memberikan respons bagi mengumpul fakta serta memahami latar peristiwa agar pendirian pihaknya benar-benar adil.
“MBM berpandangan perarakan Hari Wanita sebenarnya wajar memfokuskan kepada isu pokok berkaitan hak-hak wanita, keganasan gender, gaji minima, keganasan domestik dan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur.
“Kita juga yakin pendirian Perdana Menteri dan kerajaan menolak budaya hidup LGBT sambil menegaskan golongan tersebut tidak wajar didiskriminasikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia seperti peluang pekerjaan dan kehidupan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











