LUMUT – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Laskar Kanan maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebatang pokok palma di Kilometer 6 Ayer Tawar di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Fadzli Othman, 36, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke arah Lumut.
“Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
“Akibat kemalangan ini mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











