GUA MUSANG 25 Mac – Jalan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 dan RKT Kesedar Lebir di sini bagaikan laluan ‘sampah’ apabila dipenuhi sampah-sarap yang dibuang segelintir penduduk tempatan sejak setahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih malang lagi, kawasan itu juga berbau busuk dan memualkan sesiapa sahaja yang melaluinya.
Seorang pengguna jalan itu, Mohd. Harun Mohd. Daud, 55, berkata, individu yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah-sarap sesuka hati di kawasan itu patut berhenti berbuat demikian.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan alam persekitaran tetapi menimbulkan pandangan negatif pengguna jalan yang menganggap penduduk di situ pengotor.
“Saya harap mereka mencari tempat yang lebih sesuai untuk dijadikan tempat pembuangan sampah,” katanya.
Siti Solehah Solihin, 30, pula mendakwa, jarak kawasan tersebut yang jauh dari pusat bandar menyebabkan penempatan mereka tidak diselia dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan selain tiada tong sampah besar disediakan.
Katanya, perkara menjadi lebih buruk apabila penduduk mengambil jalan mudah melonggokkan bungkusan sampah di sepanjang laluan tersebut.
“Saya harap pihak berkuasa dapat menyediakan kemudahan tong sampah atau tempat pembuangan sampah yang sistematik di kawasan ini bagi mengatasi masalah yang berlaku sekarang,” katanya.











