KUALA NERUS 16 Mac – Enam wira yang sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan mangsa lemas dalam tragedi di Pulau Warisan 8 Februari lalu, hari ini diraikan lagi dengan menerima Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kesemua enam wira tersebut ialah Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. yang diwakili bapanya, Mohd. Mustafa diikuti Saiful Anuar Mohd., Mohd. Amirol Hafizol Zulkafli, Mohd. Shahrul Mizan Harun, Omar Abdul Aziz Othman dan Muhammad Asadullah Jamaludin.
Upacara pengurniaan pingat itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.
Majlis itu dilangsungkan serentak dengan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor, timbalannya, Sharikan Bustaman dan Komanden Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman.
Sebelum ini, kesemua lima wira berkenaan turut menerima sijil penghargaan daripada JBPM Terengganu disusuli sijil penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Pada 22 Februari lalu, kesemua mereka mendapat pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan Wira Darul Iman yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Mohammad Hamdan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada enam wira berkenaan yang merupakan antara 24 penerima pingat kebesaran JBPM Terengganu yang diraikan hari ini selain 54 penerima APC.
Manakala tujuh pegawai dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur menerima Pingat Kebesaran JBPM dan 16 yang lain penerima APC. – UTUSAN ONLINE











