BERLIN 13 Mac – Wolfsburg sedang mencari jurulatih baharu bagi musim hadapan selepas Bruno Labbadia mengumumkan untuk meninggalkan kelab itu, Jun ini dan tidak akan memperbaharui kontraknya.
Perkara itu dipercayai berpunca daripada pergeseran di antara pengendali berusia 53 tahun itu dengan pengarah sukan, Jorg Schmadtke dan Labbadia tidak pernah menafikan perkara itu.
“Kerjasama boleh diteruskan sekiranya berlaku pertukaran secara profesional terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kelab selama ini.
“Memandangkan visi kami tidak sepadan 100 peratus, saya mengambil keputusan ini sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Wolfsburg dibelasah 0-6 oleh juara bertahan, Bayern Munich hujung minggu lalu dan kini menghuni anak tangga ketujuh Bundesliga, ketinggalan tiga mata untuk beraksi di pentas Eropah.
Sepanjang bersama kelab itu, Labbadia berjaya mengubah nasib kelab apabila menyelamatkan mereka daripada penyingkiran selepas menang aksi playoff menentang Kiel.
Media Jerman mengaitkan Marco Rose yang kini bersama Red Bull Salzburg untuk mengisi kekosongan di Wolfsburg tetapi pengendali Jerman itu memiliki kontrak di Austria sehingga Jun 2020.-AFP











