GAUN perkahwinan merupakan kemuncak upacara majlis perkahwinan. Bagi mereka yang gemarkan ilham moden, gaya ini pasti memenuhi impian setiap wanita. Sehingga pasangan pengantin sanggup ke luar negara untuk mendapatkan khidmat pereka terkenal bagi menghasilkan gaun perkahwinan mereka mengikut cita rasa dan potongan badan.
Sempena pameran The Wedding KL 2019, Mimpi Kita menampilkan sesuatu yang istimewa khusus untuk koleksi perkahwinan tahun ini.
Menurut pengarah kreatifnya, Nurul Zulkifli, koleksi kali ini menampilkan busana dengan ciri klasik namun masih mengekalkan gaya moden dengan potongan siluet ringkas. Gabungan klasik dan moden menjadi pilihan pengantin pada 2019.
“Mimpi Kita sinonim dengan motif-motif cetakan. Untuk tahun ini, kami cuba tampilkan sesuatu yang baharu dengan teknik sulaman dan jahitan manik yang diilhamkan daripada bunga-bungaan. Selain itu, kebanyakan rekaan tampil dengan sentuhan klasik, potongan siluet yang agak ringkas tetapi moden,” katanya.
Bagi mereka yang berjiwa muda serta menginginkan keunikan pada hari bahagia, gaun pengantin rekaan Mimpi Kita merupakan pilihan tepat. Rekaannya bercirikan kontemporari tanpa corak yang sarat menyerikan si pemakai.
Lapisan renda yang digabungkan manik menyerikan majlis dengan khayalan romantis. Himpunan gaun pengantin ini dikatakan abadi, bersifat kewanitaan dan anggun menawan dengan rona putih yang diserikan renda.
Mimpi Kita mempersembahkan 15 rekaan gaun termasuk satu busana perkahwinan dengan seluar yang dibeli di butik atau secara dalam talian.
Bagi mereka yang berjiwa muda serta menginginkan keunikan pada hari bahagia, gaun pengantin rekaan Mimpi Kita merupakan pilihan tepat.











