JOHOR BAHRU 6 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rais Hussin Mohamed Ariff yang menyifatkan penyatuan UMNO-Pas sebagai satu ‘sumbang mahram’.
Mohamed Khaled berkata, penyatuan UMNO-Pas adalah pembukaan lembaran baharu terhadap usaha rentas parti bagi mengupayakan bangsa Melayu agar seterusnya berlaku kerjasama dan penyatuan Melayu-Islam dalam pelbagai bidang.
Katanya, dakwaan itu sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik dalam Bersatu terhadap senario politik jangka panjang Melayu-Muslim di negara ini.
“Rais melihat penyatuan ini melalui kaca mata dan survival politik kepartian semata-mata. Memandangkan tidak ada hujah yang jelas dan kuat, beliau memilih pendekatan jelik iaitu membalut semua perkara dengan memetik konteks dan hukum agama yang dengan tegas dan jelas tidak terpakai dalam perkara ini.
“Saya tidak pasti sejauh mana beliau sedar dan faham akan hukum tindakan memanipulasikan hukum agama sebagai analogi politik yang terpesong daripada konteks yang sesuai, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
“UMNO-Pas baru duduk berbincang dan bertentang mata di pentas umum tetapi nampaknya Bersatu pula yang terlebih ghairah sampai mengelamun hingga ke kamar kelamin dan aksi atas katil pengantin,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau mengulas kenyataan Rais Hussin Mohamed itu yang tidak senang dengan ‘perkahwinan’ UMNO dan PAS dengan melabelkannya sebagai satu ‘sumbang mahram’. – UTUSAN ONLINE











