LOS ANGELES 19 Mac – Bintang Hollywood, Sylvester Stallone percaya, bekas juara featherweight dan lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Conor McGregor kini berada di persimpangan kariernya.
Selepas petinju yang digelar ‘The Notorious’ itu disaman kerana memecahkan telefon bimbit seorang peminatnya di luar kelab malam di Miami, jiwanya masih belum pulih daripada kekalahan kepada Khabib Nurmagomedov.
McGregor, 30 dari Ireland dianggap tewas dalam pertarungan terbesar kariernya kepada Khabib, malah kalah pada pusingan keempat pertarungan utama blockbuster UFC 229 tahun lalu.

Stallone, peminat seni tempur memiliki saham kecil dalam UFC turut memberi kata-kata nasihat kepada McGregor dalam satu temu ramah bersama TMZ Sports.
Pelakon terkenal menerusi filem lasak Rambo berusia 72 tahun itu berkata, McGregor perlu mengatasi ketakutan untuk menewaskan Khabib jika dia mahu mengecapi ketenteraman dalaman dan mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang atlet terhebat sepanjang zaman.
“Dia (McGregor) berada di persimpangan kehidupannya. Jika dia tidak boleh mengatasi ketakutan dan menewaskan lelaki ini (Khabib), saya rasa ia akan menjadi wabak penyakit sepanjang hidupnya.
“Saya fikir (Conor) kalah kerana berasa marah, berasa terlalu hebat dan menjadi sombong.
“Dia rasa boleh menang mudah, dia terus berdepan lelaki ‘gentleman’ itu. Tiada Pelan B, dan langsung tiada Pelan A,” kata Stallone.
Ditanya bagaimana McGregor perlu mengawal dirinya ketika sedang berdepan kes mahkamah, Stallone menasihatkan lelaki dari Dublin itu agar terus tersenyum.
“Terus tersenyum. Anda tidak boleh mengkritik senyuman,” tambahnya.
Meskipun McGregor lebih banyak mencetus kontroversi di luar gelanggang saingan UFC namun dia dijangka kembali ke Octagon pada Julai ini tetapi lawannya masih belum diumumkan. – AGENSI











