KUALA LUMPUR 10 Mac – Kerjasama UMNO dan Pas adalah untuk memperkuatkan blok pembangkang bagi memantau kerajaan Pakatan Harapan (PH), bukannya berniat mahu memberi ancaman kepada kaum lain.
Jelas Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, apabila negara mempunyai pembangkang yang kuat, rakyat secara keseluruhan akan mendapat manfaat.
Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama UMNO dan Pas masih tertumpu kepada perpaduan ummah serta untuk menghadapi pilihan raya, dan masih terlalu awal untuk bercakap tentang kerajaan campuran.
“Pas dari dulu telah bekerjasama dengan banyaj parti termasuk DAP. Kita bekerjasama untuk kebaikan rakyat, bukan keburukan.
“Kita memikirkan mengenai rakyat, kerana Islam membawa rahmat kepada seluruh rakyat. Keburukan (kerjasama UMNO-Pas) hanyalah persepsi yang dibawa oleh orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas tamat Seminar Perpaduan Nasional anjuran Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











