SEIRINGAN dengan fokus kerajaan Malaysia untuk menyediakan negara ini menghadapi Revolusi Industri 4.0, maka beberapa bidang baharu yang dijangka mampu memberi impak besar terhadap ekonomi negara, kemajuan teknologi serta perubahan sosiobudaya masyarakat ke arah lebih baik sedang dikenal-pasti dan diusahakan. Antaranya projek kereta terbang yang cukup sinonim dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd.Redzuan Md. Yusof.
Namun terdengar suara-suara sumbang di luar sana yang memperlekeh usaha tersebut, tidak kurang juga ada yang mencerca menteri berkenaan kononnya tidak realistik dengan apa yang majoriti rakyat Malaysia dambakan iaitu kebajikan lebih baik serta peluang kerja lebih berbaloi.
Jika diamati kembali sejarah silam, persepsi sebegitu juga pernah berlegar dalam kalangan masyarakat kita suatu ketika dahulu apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mula memperkenalkan projek kereta nasional, Proton pada awal 1980-an.
Ada dalam kalangan warga kita tidak dapat melihat lebih jauh tentang manfaat segala industri serta peluang perniagaan berasaskan teknologi moden. Jauh lebih parah, ia dijadikan bahan politik oleh pihak pembangkang yang sememangnya mahu melecehkan segala usaha baik daripada kepemimpinan Dr. Mahathir untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Kita perlu faham, liputan mengenai projek kereta terbang yang sering memenuhi dada-dada akhbar adalah kerana kecenderungan pihak media itu sendiri yang mahu mengikuti perkembangan projek tersebut. Pantang sahaja wartawan ada peluang menemubual atau bertanyakan soalan kepada menteri, sudah pasti ada soalan mengenai status terkini projek tersebut.
Sudah tentu selaku menteri bertanggungjawab, Mohd. Redzuan akan mengulas mengenainya. Dan ulasan atau jawapan daripada menteri dijadikan tajuk besar berita. Walhal masih banyak lagi usaha lain yang Kementerian Pembangunan Usahawan sedang dan akan lakukan demi rakyat dan negara.
Bukannya menteri terhegeh-hegeh mahu buat sidang akhbar semata-mata mahu bercakap mengenai kereta terbang. Namun kita tidak boleh pula menjangkakan Menteri Pembangunan Usahawan bercakap mengenai kebajikan sosial atau kawalan harga barangan kerana itu semua di bawah seliaan kementerian lain. Maka apa yang disampaikan oleh Mohd. Redzuan masih dalam lingkungan tugasnya atau termaktub dalam petunjuk prestasi utama (KPI) atau ia adalah arahan langsung daripada Perdana Menteri. Jadi kenapa perlu beliau dihentam jika bercakap sesuatu melibatkan kementeriannya?
Masih ramai yang tidak faham potensi teknologi kereta terbang. Malah istilah kereta terbang itu pun dirasakan kurang tepat untuk menggambarkan satu teknologi pengangkutan baharu yang menggunakan teknik penerbangan altitud rendah bagi kegunaan peribadi. Ia bukanlah suatu fantasi lagi kerana teknologi ini telah pun dibawa ke Dubai untuk dikomersialkan.
Dan ia sedang berkembang pesat di negara-negara maju dalam usaha manusia untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kebergantungan kepada bahan bakar tradisional yang semakin terhad dan mahal.
Kenapa Malaysia wajar menjuarai industri dan teknologi tersebut? Ia kerana masih belum ada mana-mana negara di rantau Asia Tenggara yang komited untuk menjayakannya. Maka peluang terbentang luas untuk negara kita mengisi kekosongan vakum itu sebagai peneraju industri berkenaan.
Segala kepakaran tempatan, didukung pula dengan pemindahan atau perkongsian teknologi dari Jepun akan dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan harga kompetitif. Ia akan membuka banyak peluang kerja baharu kepada rakyat, jaringan syarikat-syarikat vendor serta pembekal komponen dalam negara yang kelak akan membina suatu ekosistem perniagaan untuk manfaat ekonomi secara keseluruhannya.
Bayangkan jika Malaysia menjadi negara Asia dan negara Muslim pertama yang mampu menghasilkan kereta terbang untuk kegunaan komersial dan peribadi dalam skala besar, nama Malaysia akan tercatat sekali lagi dalam sejarah seperti mana wujudnya industri Proton selaku industri jenama kereta penumpang pertama dari Asia Tenggara dan dunia Islam.
Kita tidak berbicara mengenai pembinaan satu atau dua kilang tetapi kita berbicara mengenai satu bentuk industri alternatif yang boleh dijuarai oleh rakyat terutama kelompok bumiputera-Melayu-Muslim. Kita mahu anak tempatan menguasai hampir semua bidang masa depan yang mampu mendatangkan pulangan lumayan kepada masyarakat dan negara.
Projek kereta terbang tersebut hanyalah salah satu daripada banyak perancangan serta inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan ekonomi serta menaik-taraf status negara ini sebagai salah satu pemain utama dalam industri automotif dan penerbangan. Namun projek serius sebegitu memerlukan masa untuk direalisasikan. Ia bagaikan satu pelaburan jangka panjang negara kita agar manfaatnya dapat dinikmati hingga ke anak cucu.
DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).











