Kerajaan PH perlukan 5 tahun tunai manifesto - Utusan Malaysia

Kerajaan PH perlukan 5 tahun tunai manifesto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 21 Mac – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) memerlukan tempoh lima tahun bagi melengkapkan segala tawaran manifesto yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, tempoh itu diperlukan kerana sebahagian daripada tawaran manifesto melibatkan pinjaman mikrokredit yang memerlukan dana daripada kerajaan Pusat.

Katanya, pinjaman atau modal itu memerlukan kelulusan daripada kerajaan Pusat dan kebiasaannya ia akan diterima oleh peminjam pada tahun kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mengesahkan kita (kerajaan PH) memerlukan tempoh lima tahun untuk tunaikan janji (manifesto) kerana sebahagian daripada manifesto itu melibatkan dana yang perlu diluluskan di peringkat Pusat.

“Sebahagian daripada tawaran manifesto itu perlu tempoh tapi kita yakin semua janji itu boleh dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas tamat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Seri Negeri sebentar tadi.

Sebelum itu pada sesi ucapan penangguhan persidangan tersebut, Adly (PH-Bukit Katil) memaklumkan kerajaan negeri telah melaksanakan lebih daripada 50 peratus daripada 85 tawaran manifesto pada PRU-14 sehingga bulan lalu.

Antara pelaksanaan tawaran manifesto kerajaan PH yang telah dilaksanakan adalah perkhidmatan bas percuma di pusat bandar, tanah milik orang Melayu berstatus pajakan dibenar untuk tukar kepada tanah adat Melaka (MCL) dan menetapkan semua operasi pengeluaran hasil hutan dalam Hutan Simpanan Kekal dihentikan sementara waktu bermula 1 Julai lalu.

Turut ditunaikan adalah pemansuhan bayaran letak kenderaan di seluruh negeri setiap Sabtu dan Ahad, mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini