PETALING JAYA – Kerajaan mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan langkah menutup Malaysia Airlines Bhd., kata bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.
“Sukar untuk menyatakannya. Kita tidak mempunyai pasaran besar seperti Singapura dan Thailand.
“Ada segelintir pihak yang berkata, mengapa kita tidak tutup saja (Malaysia Airlines)? Mungkin itu satu pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Unjuran Kewangan Strategik Malaysia anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), di sini hari ini.
Mohd Sheriff merupakan salah seorang panelis sesi tersebut.
Ketika menjawab pertanyaan media mengenai nasib syarikat penerbangan nasional itu, beliau yang juga Pengerusi PLUS Malaysia Bhd itu berkata : “Saya tidak mahu memberi komen mengenainya (sama ada ia perlu ditutup).
“Apa yang saya katakan ialah ada banyak pihak yang berpendapat kita perlu meneliti semula sekiranya kita memerlukan sebuah syarikat penerbangan nasional. Bagi saya, mungkin kita perlu melihat sama ada kita (masih) perlukannya.”
Mengulas selanjutnya, Mohd Sheriff berkata syarikat penerbangan itu pernah diselamatkan bukan sekali malah sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ini, namun terbukti gagal.
“(Selepas) dua atau tiga tahun, perkara ini timbul semula. Ini menunjukkan bahawa tidak mudah untuk Malaysia Airlines Bhd mencatat untung (semula),” katanya.
Selain itu, beliau turut menyentuh keperluan melaksanakan langkah pembaharuan membabitkan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan seperti Khazanah serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Malah, beliau turut berpendapat, perbincangan serius berkaitan perlu diadakan untuk melihat jika Malaysia memerlukan sebegitu banyak GLC.
“Standard tadbir urus itu perlu ditambahbaik dan kita perlu memastikan tidak wujud sebarang campur tangan politik dalam usaha pengurusan GLC supaya mereka yang masih ada dapat meneruskan tugas dengan sewajarnya,” katanya. – Bernama











