KUALA LUMPUR 25 Mac – Keputusan sama ada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee ditukarkan dengan Ahli Parlimen pembangkang hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memberitahu, tiada tempoh masa khusus yang ditetapkan untuk mencari pengganti Ronald.
Hal ini kerana kata Kor Ming, pemilihan Pengerusi baharu PAC bergantung kepada kes-kes yang sedang dikendalikan jawatankuasa berkenaan.
“Berikan sedikit masa, kerajaan akan memilih Pengerusi PAC baharu pada masa sesuai memandangkan ketika ini banyak kes yang sedang didengar jawatankuasa tersebut.
“Saya rasa pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kerajaan akan mencari satu masa yang sesuai seperti yang telah diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. (Semuanya) terpulang kepada bilakah kes yang sedang didengar PAC itu akan selesai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kedudukan Ronald sebagai Pengerusi PAC dipersoal memandangkan beliau dilantik memegang jawatan itu sewaktu masih bersama UMNO dan BN, namun Ronald bersama beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar daripada UMNO dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 15 Mac lalu.
Kerajaan PH sebelum ini telah berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan wakil pembangkang.
Semalam, Dr. Mahathir memberitahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang mempertimbangkan untuk mencari calon yang sesuai bagi memegang jawatan Pengerusi PAC namun buat ketika ini jawatan berkenaan akan terus disandang Ronald.
Kenyataan itu susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga seorang daripada Ahli PAC disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC. – UTUSAN ONLINE











