NAIROBI 13 Mac – Suku daripada jumlah keseluruhan kematian pramatang dan penyakit seluruh dunia adalah berpunca daripada pencemaran ‘buatan manusia’ dan kemusnahan terhadap alam sekitar, menurut laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Pelepasan asap beracun, air minuman yang tercemar akibat bahan kimia dan peningkatan kemusnahan ekosistem telah mengancam kehidupan berbilion orang di seluruh dunia sehingga menjejaskan ekonomi global.
Tinjauan Alam Sekitar Global (GEO) merupakan laporan selama enam tahun yang merangkumi kajian daripada 250 saintis dari 70 negara.
Laporan itu menyatakan wujud jurang yang semakin meningkat di antara negara kaya serta miskin kerana penggunaan bahan secara berlebihan dan peningkatan sisa makanan serta pencemaran di negara membangun telah menyumbang kepada isu kebuluran, kemiskinan dan penyakit di tempat lain. – AFP











