PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia menegaskan tiada individu, kumpulan atau orang tengah dilantik sebagai perantara untuk menyelesaikan sebarang urusan berkaitan kementerian itu, jabatan atau agensi di bawahnya.
Merujuk kepada dakwaan bahawa terdapat pihak yang menyalahgunakan nama kementerian itu untuk mendapatkan keuntungan peribadi, kementerian dalam satu kenyataan berkata, sebarang urusan berkaitan perlu dilakukan terus di kementerian atau premis jabatan dan agensi terlibat.
Menurutnya, perkhidmatan atas talian kementerian seperti ePPAx dan Portal JobsMalaysia 2.0 juga telah ditambah baik sebagai alternatif untuk kemudahan orang awam.
“Oleh itu, tidak timbul sebarang keperluan untuk melibatkan orang tengah atau pun perantara,” katanya.
Sementara itu, kementerian turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai perantara terutamanya individu yang mengenakan kos tertentu untuk urusan tersebut.
“Kementerian tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada mana-mana pihak yang telah mengeluarkan sebarang bayaran kepada perantara tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kementerian itu berkata, mana-mana individu yang telah menjadi mangsa disyorkan untuk segera membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai proses berurusan dengan kementerian, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8886 5000 atau melalui emel ke Unit Komunikasi Korporat di [email protected]. – K! ONLINE











