SEREMBAN 6 Mac – Kadar kemalangan maut di tempat kerja yang dilaporkan di negeri ini menunjukkan penurunan sejak dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Izani Mohd. Zain berkata, pada tahun lalu sebanyak lapan kematian direkodkan berbanding sembilan kes pada 2017.
Beliau memberitahu, setakat bulan Februari tahun ini, tiada sebarang kematian dilaporkan.
“Berdasarkan statistik pada tahun lalu, sebanyak 12 kecederaan hilang upaya kekal direkodkan, berbanding 14 kes pada tahun 2017. Bagi kecederaan tidak hilang upaya kekal pula sebanyak 400 kes berbanding 327 kes tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh dua bulan pertama ini sebanyak 64 kes kecederaan di tempat kerja telah direkodkan manakala 80 kes direkodkan untuk penyakit pekerjaan seperti gatal kulit, pekak akibat kerja di kuari, sakit dada dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Operasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tapak bina di Pejabat IJM Land Seremban 2 di sini.
Yang turut hadir, timbalannya, Ghafar Kaprawi dan Ketua Seksyen Kerja Bina JKKP negeri, Ir. Saifuladili Jaafar.
Menurut Izani, sektor pengeluaran dan pembuatan merupakan antara penyumbang terbesar kadar kecederaan serta kematian di tempat kerja, diikuti tapak pembinaan.
Katanya, kadar kemalangan dan kematian di tapak projek pembinaan di negeri ini masihi terkawal dengan hanya satu kematian pada 2018, berbanding dua kematian pada 2017.
“Kita berharap keadaan ini dapat ditambah baik berpandukan garis panduan yang dikeluarkan. Kalau boleh kita mahu sifar kematian dan kemalangan di tempat kerja,” katanya.
Dalam pada itu, Izani memberitahu, berdasarkan operasi tapak pembinaan yang diadakan tahun lalu, sebanyak empat pendakwaan telah dijalankan, manakala 49 kes pertuduhan bagi kesalahan berkaitan industri pembinaan telah dikeluarkan oleh JKKP.











