Keluarga miskin 
tidur di dapur - Utusan Malaysia

Keluarga miskin 
tidur di dapur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 12 Mac – Nasib enam sekeluarga yang hidup dalam kesempitan sebelum ini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah mereka di Kampung Serting Ulu di sini, terbakar kelmarin.

Hussin Mamat, 55, dan isteri, Dewi Muliyawati Yanto, 36, dan empat anak mereka kini terpaksa hidup dalam keadaan tidak sempurna di bahagian dapur rumah yang tidak terjejas dalam kejadian itu.

Mereka juga tidak mempunyai keperluan harian termasuk pa­kaian yang telah musnah terbakar, manakala pada waktu malam terpaksa tinggal dalam keadaan bergelap selepas bekalan elektrik dipotong kerana litar pintas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Hussin dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan sebagai pemetik kelapa sawit di kampung itu, dia tidak mampu untuk membaik pulih rumah tersebut.

Katanya, jika tidak ada bantuan diterima daripada mana-mana pihak, mereka terpaksa tinggal di dapur rumah buat masa yang lama sehingga wangnya mencukupi.

“Setakat ini kami tak ada pilihan, terpaksa tidur di dapur terlebih dulu. Saya tak mahu menyusahkan jiran atau ahli keluarga lain. Apa pun jadi kami akan bertahan dengan hidup dalam ke­adaan tidak sempurna ini,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Dewi Muliyawati berkata, dua orang anaknya yang berumur 18 dan 12 tahun masih bersekolah, seorang lagi berusia 17 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) manakala yang bongsu berumur dua tahun setengah.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Dewi Muliyawati (05114-41-00000499-7) atau menghubungi talian 011-56854471.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini